Kebahagiaan Kecil: Nikmatnya Mengemop Lantai dan Secawan Kopi Panas

Kadang-kadang kita lupa, hidup ni bukan semata mengenai pencapaian. Bukan tentang pangkat kita, berapa nilai aset kita ada, atau kejayaan mencapai target besar dalam perniagaan kita.

Ada satu jenis bahagia lain yang senyap, yang tak gah di mata orang memandang, tapi membuat kita rasa tenang tanpa sedar.

Setiap pagi sebelum keluar pergi bekerja, menyapu satu ruangan di rumah serta menyusun kerusi agar teratur. Melihat habuk yang dibuang dan susunan teratur sebelum keluar rumah sudah memberi rasa positif dan bahagia untuk menempuh hari tersebut.

Hujung minggu, mengemas rumah dan mengemop lantai juga menjadi terapi mental yang memberi bahagia kecil. Walaupun penat, walaupun berpeluh… ianya memberi rasa berjaya dalam diri.

Ianya perkara-perkara kecil yang impaknya dirasai diri, hati dan mental kita. Tidak rumit, tidak perlu berdepan konflik dengan sesiapa untuk kita nikmati kejayaannya.

Secangkir kopi atau teh selepas selesai setiap kejayaan membuat kita rasa… “Yeah, today I win.”

Kebahagiaan kecil ni selalu kita pandang enteng. Kita kejar yang besar, sampai lupa nikmat yang datang dari yang kecil.

Sedangkan hakikatnya, hidup ini lebih kerap tentang kemenangan kecil yang kita rasa sendiri,  bukan sorakan besar yang orang lain beri.

 

“

Kerana bahagia itu bukan tentang banyaknya yang kita ada. Ia tentang betapa dalamnya kita mampu rasa syukur.

”

Read More